Sabtu, 19 Mac 2011

Teka Teki




Ikan selar dalam kuali,
Kuali diletak celah dapur;
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Tanam pisang sulung tahun,
Malam-malam tanak nasi;
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Buah cermai di dalam dulang,
Tepung digaul minyak sapi;
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.


Sumber: Iladam
Langit di Tangan, 1995.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apa Itu Teka Teki

Teka-teki


Teka-teki ialah penyataan atau soalan yang mempunyai pembayang-pembayang tertentu yang bertujuan untuk menduga akal seseorang. Kebiasaannya, sesuatu teka-teki itu mempunyai jawapan yang menarik, unik atau kelakar.

Isi kandungan


Jenis-jenis teka-teki

Terdapat pelbagai jenis teka-teki yang wujud dalam dunia ini. Berikut hanyalah sebahagian daripada jenis-jenis teka-teki tersebut :-

Teka-teki tradisional Melayu

Teka-teki tradisional Melayu terkandung dalam bahagian puisi Melayu. Teka-teki jenis ini mempunyai 4 baris rangkap pantun dengan rima "abab". Contoh teka-teki tradisional Melayu ialah :-

"Akulah bola tergantung tinggi,
Menjadi pujaan seekor burung;
Apabila aku tiada lagi,
Gelap gelita hidup pun murung."

Jawapan : Bulan


Teka-teki tradisional Melayu tersebut adalah berdasarkan kepada salah satu peribahasa Melayu iaitu "pungguk rindukan bulan".

Teka-teki biasa

Teka-teki biasa mempunyai jawapan yang logik dan relevan dengan kehendak soalan teka-teki itu. Contoh teka-teki biasa :-

"Ada 3 orang dalam sebuah kapal laut; seorang nabi, seorang maharaja dan seorang hamba abdi. Kapal laut itu pun tenggelam. Antara ketiga-tiga orang tersebut, yang mana satu meninggal dunia?"

Jawapan : Hamba abdi


Hamba abdi sahaja yang meninggal dunia. Ini kerana maharaja mangkat dan nabi wafat. Maharaja dan nabi tidak memerlukan istilah "meninggal dunia".


kambing mati , diikat dikayu mati , dipukul mati-mati,apakah bendanya?

jawapan: gendang



Teka-teki gurauan

Teka-teki gurauan ialah teka-teki yang bertujuan untuk bergurau sahaja dan kebiasaannya teka-teki jenis ini mempunyai jawapan yang tidak relevan dengan kehendak soalan teka-teki itu. Contoh teka-teki gurauan ialah :-

"2 darab 2 jadi 4. 4 tolak 1 jadi 3. Jika seminggu ada 7 hari, siapakah bapa Aminah?"

Jawapan : Seorang lelaki


Teka-teki jenis ini tidak begitu menarik dan kadang-kadang boleh mendatangkan kebosanan atau kemarahan.

Selasa, 15 Mac 2011

Pantun Sirih Pinang

Sirih junjung sirih pinang
Sirih kami susun bertingkat
Adat dijunjung pusaka dikenang
Bangsa berbudi hidup muafakat

Sirih junjung sirih pinang
Sirih kuning diberi nama
Adat dijunjung pusaka dikenang
Hidup berbudi muafakat bersama

Sirih kuning sirih dara
Sirih tanya berserta cincin
Hidup beradat aman sejahtera
Budaya lama tetap terjamin

Sirih kuning diberi nama
Sirih tanya berserta cincin
Hidup berunding muafakat bersama
Bangsa mulia budaya dijamin

Orang Jawa turun ke dusun
Singgah sejenak di pinggir kota
Kami bawa sirih tersusun
Sudilah sepiak pembuka kata

Apa Itu Pantun

Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, maupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adapt. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.

Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman.

Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Langka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19.

Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu; seminar dan bengkel tentangnya juga terus diadakan.

Gurindam Nasihat

Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar,
Menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan,
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah lembut,
Lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
Lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar,
Tidak boleh orang berbuat honar.

Apa Itu Gurindam

'''Gurindam''' merupakan sejenis bentuk puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri dari pada dua baris serangkap, menyerupai syair dua baris atau nazam. Setiap baris biasanya mengandungi tiga atau empat, enam atau lebih perkataan; dan pola rima a-a; a-b atau serima (monoryme). Tiap serangkap merupakan sebahagian daripada idea yang berturutan dan biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk menyatakan keseluruhan idea.

Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi bebas, sama ada berangkap atau tidak. Walaupun setiap rangkap dapat berdiri sendiri tetapi biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk meyatakan satu keseluruhan idea.

Dari segi bentuk ia sama seperti [[talibun]], [[teromba]] atau mantera; tetapi tergolong sebagai gurindam karena isinya mengandung nasihat, pengajaran dan kebenaran, berbeza dengan mantera. Gurindam tidak mengandung unsur sihir; dan berbeda dengan teromba, ia tidak merujukkan kepada salasilah atau undang-undang setempat.

Gurindam juga dapat merangkum puisi yang lebih bebas, yang secara sinkronis tergolong sebagai puisi moden, terutama di peringkat awal perkembangannya. Kebanyakan karya puisi dalam peringkat itu memperlihatkan kebebasan dari segi bentuk dan isi tetapi masih terkongkong kepada nilai-nilai puisi tradisional dari segi pola rima, rentak dan unsur-unsur estetik yang lain.

[[Kategori:Puisi Melayu]]
[[Kategori:Kesusteraan Melayu]]

[[id:Gurindam]]
[[en:Gurindam]]

sajak kemerdekaan

Isnin, 14 Mac 2011

Syarahan - Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar


Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin sekalian,

Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan. Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar alam sekitar supaya mereka serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar juga haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh disiarkan melalui media massa seperti surat khabar, television dan radio. Kempen-kempen ini akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong royong dapat membantu orang ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Disamping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab. Jika mendapati ada pihak yang mencemar alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Hadirin sekalian,

Tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.

Sekian, terima kasih.





Pantun Nasihat

Jangan mencaci orang buta,
Kelak dosa bertambah berat,
Hormatilah ibu bapa kita,
Agar senang dunia akhirat.

Bermain air sampai basah,
Jangan lupa bawa tuala,
Mendengar kata ibu dan ayah,
Adalah satu amalan mulia.

Pergi melancong ke negeri Sabah,
Berjumpa kawan bernama Sara,
Jangan melawan ibu dan ayah,
Nanti kita akan sengsara.


hasil bacaan musim cuti sekolah
nsas/140311